PPKI



Perkhidmatan kepada kanak-kanak kurang upaya adalah tanggungjawab tiga Kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Visi penubuhan program pendidikan khas ialah untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada murid-murid kurang upaya dengan menyediakan keperluan khas kearah kejayaan hidup, agar murid boleh berdikari walaupun dengan bantuan orang lain tetapi murid-murid ini dapat hidup bermasyarakat, harmoni sejajar dengan hasrat Falsafah Pendidikan Khas.

Misi pendidikan khas pula ialah menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid dengan keperluan khas untuk menjadikan mereka insan yang dapat berdikari, berjaya dalam hidup dan memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat. Program Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia dilaksanakan melalui Sekolah Khas bagi murid bermasalah penglihatan, bermasalah pendengaran dan pembelajaran. Terdapat beberapa sekolah khas integrasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan salah satunya ialah SK Polis Depot.

Kelas khas di sekolah ini mula beroperasi pada Disember 1991 yang mempunyai 6 orang guru dan 24 orang murid yang di kenali sebagai Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP). Pada tahun 1995, jumlah murid meningkat kepada 75 orang dan guru seramai 18 orang. Mulai tahun 1996, PKBP mula aktif dengan aktiviti terapi berkuda dan berenang. Pada tahun 2008, Program Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) telah ditukarkan namanya kepada Program Pendidikan Khas Pembelajaran (PPKP). Pada bulan Mei 2009, sekali lagi program ini ditukarkan namanya kepada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Pada tahun 2009, Program Pendidikan Khas Integrasi di SK Polis Depot mempunyai seorang guru penolong kanan yang dahulunya dikenali sebagai penyelaras, dibantu oleh 15 orang guru dan 6 orang pembantu pengurusan murid. Murid-muridnya adalah seramai 60 orang. Kategori murid-murid bermasalah pembelajaran yang terdapat di sekolah ini ialah kanak-kanak yang mengalami sindrom down, autism, attention deficit hyperactivity disorder (ADHD), serbral palsi, terencat akal ringan dan bermasalah pembelajaran  (Slow learner).

Syarat-syarat kemasukan murid ke program pendidikan khas ialah murid yang berumur antara enam hingga empat belas tahun. Murid yang telah melebihi umur 14 tahun akan dihantar ke sekolah menengah untuk meneruskan persekolahan mereka. Selain itu, murid-murid ini juga perlu mendapat pengesahan dari pengamal perubatan tentang masalah kesihatan yang dihadapi oleh mereka sebelum mendaftar sebagai murid sekolah yang berkeperluan khas. Murid-murid yang di hantar unutk bersekolah di sini adalah murid yang boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain. Kanak-kanak yang mengalami kecacatan fizikal atau rencatan akal yang teruk dan mengalami pelbagai kecacatan, mereka boleh mendapat perkhidmatan pendidikan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan   Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Pusat Komuniti yang dinamakan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Pelbagai kemudahan yang dapat dinikmati oleh murid-murid kurang upaya ini. Antaranya elaun oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebanyak RM 150.00 seorang unutk setiap bulan. Selain itu, aktiviti terapi seperti terapi berkuda dan berenang, murid-murid ini mendapat bayaran istimewa ataupun perkhidmatan ini diberi secara percuma kepada mereka oleh kerajaan.